Saturday, May 8, 2010

Mendung Berarak Gelora Bertamu Oleh Kemeri Jalan

Cerpen



Mendung Berarak Gelora Bertamu
Oleh Kemeri Jalani


Selesai mengerjakan sholat Isyak, Faizul terus menadah tangannya sambil berdoa. Faizul berdoa agar Tuhan menganugerahkan kesejahteraan dan keharmonian dalam keluarganya. Dia begitu khusyuk. Nadanya merendah dan penuh mengharap.
“ Ya Tuhanku, Kau limpahkan rahmatMu ke atas keluargaku. Peliharalah kami dari segala kesempitan. Elakkan kami daripada melakukan perkara-perkara yang engkau tidak redhai. Sesungguhnya hanya kepada Mulah kami memohon dan meminta. Amin ya Rabbal Alamin.”, Faizul menyapu kedua tapak tangannya ke muka setelah mengakhiri doanya.
Dia kelihatan berat untuk meninggalkan sejadah tempat sujudnya sebentar tadi. Namun tangan kanannya tangkas mencapai hujung sejadah untuk dilipatkan. Dia bingkas bangun dan menanggalkan kopiah dari kepalanya. Dia menyangkutkan kopiah itu pada paku yang terpacak di dinding bilik bujangnya.
Sebelum melangkah keluar dari biliknya, Faizul membetulkan ikat pelikatnya yang hampir terlondeh. Setelah melangkah keluar di terus ke ruang dapur. Seperti biasa, dia membancuh segelas besar air ‘Nescaffe’ pekat bercampur susu. Suasana di dalam rumahnya lengang. Ibu dan ayahnya yang berjemaah di masjid belum balik lagi.
“ Mungkin mereka menghadiri ceramah atau perbincangan agama di masjid”, bisik hati Faizul setelah mendapati kedua-dua orang tuanya belum balik dari masjid.
Dari dalam bilik kakaknya, Faizul dapat menangkap dengan jelas lunak suara kakaknya mengalunkan firman-firman Allah Taalla. Maznah, kakaknya sedang khusyuk membaca ayat-ayat suci Al-Quran.
“ Alhamdulillah, walaupun kakakku tiada peluang untuk bersekolah, namun dia lancar membaca dan belajar Al-Quran sehingga khatam. Lagipun dia tahu nahu-nahu yang batul dalam bahasa Al-Quran”, monolog Faizul.
Setelah urusananya di dapur selesai, Faizul menatang segelas air ‘Nescafe’nya ke ruang tamu. Dia meletakkan gelas minumannya di atas meja yang mengadap ke peti televisyen yang telah sedia terpasang. Faizul tidak tahu siapa yang memasangnya.
Di kaca televisyen, terpampang wajah Tengku Elida Bustamam membaca berita. Rancangan Buletin Utama sedang ke udara. Rancangan keluaran TV3 itu biasanya ke udara dari pukul lapan sehingga pukul sembilan malam. Untuk mendapatkan kepastian waktu, Faizul memandang jam dinding yang tersangkut di dinding bilik Helmi, adiknya. Tepat pukul lapan empat puluh malam.
“ Ke manalah perginya Helmi ni ? Dah hampir pukul sembilan malam pun belum balik daripada bermain. Macamlah dah tak tahu jalan balik ke rumah sendiri lagi. Dahlah tu, waktu Maghrib pun dah lama berlalu. Setakat lupakan rumah, taklah teruk sangat. Ini tak, Tuhan pun dia lupakan. Astargfirullahalazim”, rungut Faizul sendiri.
Helmi adalah adik bungsu Faizul. Dia bekerja sebagai buruh kasar di sebuah tapak pembinaan. Dia bekerja di situ sebaik sahaja berhenti sekolah sejak setahun yang lalu. Persekolahannya sekerat jalan. Helmi nekad untuk membuat keputusan sendiri.
Pada mulanya, keputusan itu cuba dihalang emaknya. Namun sikap degil yang diwarisi Faizul daripada arwah datuknya sukar untuk dibendung. Setiap keputusan adalah muktamat.
“Helmi bukan tak mahu belajar lagi tapi keadaan yang memaksa, mak. Mak bukannya tak tahu cita-cita saya. Saya memang teringin nak melanjutkan pelajaran sehingga ke universiti. Tapi mak, Helmi kesian melihat keadaan emak dan ayah. Hah, tengok ayah tu ! Sejak kebelakangan ini batuknya menjadi-jadi. Kalau dalam keadaannya begitu ayah masih nak bekerja keras maka semakin melaratlah penyakit ayah.”, tegas Helmi mempertahankan hujahnya.
Jika dibandingkan antara Helmi dan Faizul, Helmi lebih masak dan memahami keperitan dan kepayahan keluarganya. Dia lebih arif soal sakit dan pening ayah dan emaknya. Bagi Faizul dia jarang bersama keluarganya. Selepas tamat persekolahnya di bandar Kuching, dia terus memasuki maktab perguruan di Sarikei. Keadaan inilah yang membezakan mereka. Kedaan ini jualah yang menyebabkan Helmi lebih tahu resepi untuk menyelesaikan masalah dalam keluarganya.
“ Emak, biarlah Helmi pula yang menggalas tanggungjawab ayah sementara menunggu abang tamat pengajian di maktab perguruan itu. Buat masa ini cukuplah apa yang Helmi ada. Semoga suatu hari nanti Helmi berpeluang juga untuk meneruskan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi. Setakat ini cukuplah abang seorang sahaja yang belajar hingga ke Tingkatan Enam. Lagipun kejayaan abang memasuki maktab perguruan cukup besar sebagai tanda kejayaan emak dan ayah menyekolahkan kami. Sekurang-kurangnya orang akan memperkatakan kejayaan ini, mak. Itulah bukti tanggungjawab dan pengorbanan emak dan ayah selama ini”, luah Helmi dengan nada yang sayu.
Helmi diam seketika. Dia mengesat linangan air mata yang telah memenuhi kelopak matnya. Helmi sayu mengenangkan perit-getir ayah dan emaknya selama ini. Helmi menelan air liur pahitnya. Dia membetulkan duduknya. Dia terbatuk sekali sebagai permulaan untuk meneruskan bicaraanya.
“Berikanlah saya peluang untuk membalas pengorbanan ayah dan emak selama ini. Lagipun sekarang ini abang Faizul mungkin memerlukan belanja yang banyak untuk membiayai pengajiannya. Bila-bila masa kalau abang meminta wang di mana kita nak cari ?. Takkan kita nak mengadu pada saudara-mara sahaja. Lagipun mereka juga bukannya hidup senang. Helmi tak mahu orang menuduh kita yang bukan-bukan, mak.”, lembut dan semakin sebak nada Helmi.
Emaknya tunduk menahan sebak. Dia cuba menahan air matanya daripada terburai keluar namun tak terdaya. Perasaan sebak yang mencengkan kalbunya memaksa air mata dari mata tuanya bercucuran. Rasa sayu dan bangga terhadap pengorbanan anak bongsunya bercampur-baur. Namun dalam hatinya, dia bersyukur kepada Tuhan kerana dikurniakan anak yang mengambil berat terhadap emak dan ayahnya. Helmi yang terus terdiam sejak tadi mengarah pandangan kepada ayahnya yang terbaring di atas katil usangnya. Pekikan batuk ayahnya sentiasa menarik perhatian Helmi.
“ Assalamualaikum”, sambil memberi salam, Helmi menanggalkan kasut sukannya.Dia memandang tepat ke arah wajah abangnya. Helmi seperti menunggu jawapan daripada abangnya. Tanpa sabar menunggu Helmi terus bersuara lagi.
“Emak dan ayah mana bang ?”, Tanya Helmi sambil berlalu ke ruang dapur.
Di dapur Helmi mencapai sebiji gelas dan mengambil sebotol air sejuk dari dalam peti sejuk. Helmi menuang air sejuk ke dalam gelasnya lalu diteguknya sehingga habis. Dituangnya segelas lagi. Dia beredar ke ruang tamu sambil menatang gelas air sejuknya. Peluh dilehernya masih mengalir lesu.
Helmi duduk di kerusi bersebelahan abangnya. Dia menanggalkan bajunya yang dibasahi peluh. Dia mengipas-ngipaskan badannya yang masih panas dengan bajunya. Pandangannya tertumpu ke arah peti televisyen. Dia meneguk air yang dibawanya tadi sehingga tiada bersisa. Rasa dahaganya mula berkurangan, malah badannya beransur terasa sejuk.
Helmi yang sejak tadi diam terbatuk sekali. Dia mengubah posisi duduknya. Matanya beralih arah menatap wajah Helmi. Helmi tidak menunjukkan respon.
“ Helmi …”, suara Faizul terputus.
Faizul cuba memikirkan kata-kata terbaik untuk dituturkan kepada Helmi. Dia tidak mahu kata-katanyta nanti akan menyakitkan hati adiknya. Dia telah masak benar fiil adik bongsunya itu.
“ Mi, takkan engkau bermain tak ingat dengan sembahyang. Lagipun abang dengar engkau terlibat juga dengan permainan nombor ekor. Perbuatan itu salah di sisi agama kita. Dalam Al-Quran Tuhan telah menggariskan sesuatu perkara yang halal atau haram dengan sejelas-jelasnya. Apa nak jadi dengan engkau ni Mi ?”, lembut suara Faizul ala berkuthbah kepada adiknya.
Helmi terkejut dengan kata-kata abangnya. Dia terdiam seketika. Dia seperti memikirkan kata-kata abangnya sebentar tadi. Atau mungkin juga Helmi sedang menyusun jawapan untuk membidas hujah abangnya.
“ Bang, Helmi sedar apa yang Helmi buat selama ini memang salah. Haram di sisi agama kita”, tersekat suara Helmi memulakan hujahnya.
Helmi membetulkan duduknya. Dia mengeluarkan kotak rokok dari poket seluarnya. Helmi mengeluarkan sebatang rokok lalu mengapitnya di bibir. Dia membakarkan hujung rokoknya. Dia mula menyedut asap rokok dengan penuh nikmat. Seketika kemudian asap rokok tadi dihembusnya rakus. Seperti melepas keluh-kesah lagaknya.
“ Helmi bukannya nak kaya cepat bang. Bukan Helmi tak tahu bermain nombor ekor itu sama seperti bermain judi. Helmi melakukannya juga bukan bermakna Helmi tak mengendahkan hukum agama. Tapi cuba abang fikir, jika kehidupan kita sentiasa merana dan hati kita sentiasa diulit resah, adakah kita akan bersyukur kepada Tuhan ?. Hal ini mungkin tidak berlaku. Malah mungkin kita akan merungut dan menyesali ketentuan Ilahi yang sedemikian. Jadi apakah bezanya menyesali ketentuan Tuhan dengan perbuatan Helmi bang ?”, bersemangat Helmi menghuraikan hujahnya.
Rokok ditangannya dihisapnya semula. Asap yang dihembus keluar dari celahan bibirnya dibiarkan berkepul di udara. Azmi mencari kekuatan untuk meneruskan bicaranya.
“ Bang, kalau kesengsaraan kehidupan keluarga sentiasa merintih dan air mata pilu ayah dan emak tak pernah kering dari kelopak mata mereka, mampukah abang menunaikan ibadah dengan khusyuk ?”, bicara Helmi diakhiri dengan satu persoalan yang pasti rumit untuk dijawab oleh Faizul.
Kedua-dua mereka membatu seketika. Mungkin masing-masing ingin meredakan keadaan yang semakin berbahang. Untuk menyelesaikan sebarang masalah mereka sedar situasi sebegini tidak menggalakkan. Itulah ajaran yang ayah mereka pesankan kepada mereka suatu ketika dahulu.
“ Tapi Mi, itu bukan cara yang digariskan oleh syarak untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi. Jadikan sunnah, hadith dan Al-Quran sebagai rujukan kita, Helmi”, dengan nada lembut Faizul menyatakan ketidaksetujuannya terhadap pendirian Helmi.
Kalau dalam persoalan agama, Faizul sukar untuk ditewaskan waima oleh ayahnya. Setiap kali berbincang tentang agama, lagak Faizul seperti seorang ustaz. Keadaan ini mungkin dipengaruhi oleh latar belakang pendidikannya. Selepas tamat sekolah rendah dia terpilih untuk melanjutkan pelajarannya di sebuah sekolah agama yang terkenal di bandaraya Kuching.
Helmi benar-benar tidak setuju dengan pendapat abangnya sebentar tadi. Lagipun sikap degilnya menyebabkan dia berat untuk menerima hakikat yang Faizul nyatakan kepadanya. Sifat egonya tetap menyokong fatwanya sebentar tadi. Pun begitu sebagai umat Islam hatinya terdetik mengatakan fatwanya salah di sisi agama.
“ Bang, Helmi bukannya tak berusaha untuk memperolehi rezeki yang halal. Cuba abang fikirkan, banyak manalah gaji yang Helmi dapat sebagai buruh, bang. Jumlahnya amat kecil jika dibandingkan dengan keperluan harian kami dan ubat-ubatan ayah tu. Abang tengoklah sendiri keadaan ayah. Ayah tidak boleh putus ubat, bang. Helmi tak pernah terfikir untuk keseronokan seorang diri. Sebab itulah Helmi memperjudikan nasib dengan jalan yang salah, bang,” sedu suara Helmi menahan sebak yang kian menebal.
Bicara Helmi kian terarah kepada persoalan emosional. Keropak matanya kian berat. Air liurnya terasa pahit untuk ditelan. Namun dia tetap ingin meluahkan segala bebanan yang ditangguingnya kepada abangnya. Kebetulan Faizul telah memulakannya, eloklah dia menjelaskan segala-galanya hari ini. Biarlah abangnya tahu segala-gala tentang bebanan yang sepatutnya digalas oleh abangnya .
“ Bang, Helmi juga seperti abang. Helmi ingin melihat setiap ahli keluarga ini bahagia dan gembira. Malahan Helmi juga ingin berjaya seperti abang, tapi Helmi tak mampu menjejaki laluan yang abang pernah lalui. Itu Helmi tak mampu. Jadi sebab itulah Helmi ingin berjaya melalui jalan yang Helmi pilih sendiri,” tanpa dapat dikawal, air mata pilu Helmi berjuntaian melelehi pipi jantannya.
Faizul kini membatu. Dia cuba memahami setiap bicara adiknya . Dia menyedari betapa tingginya cita-cita adiknya. Dia baru menyedari bahawa adiknya telah banyak berkorban untuk keluarga mereka. Namun dalam hatinya, Faizul tetap berdoa semoga Allah memberi petunjuk kepadanya untuk bertaubat.
Helmi dan Faizul masing-masing membisu. Mereka seperti kekontangan idea. Helmi berasa puas. Segala persoalan yang selama ini bersauh dibenak fikirannya telah terburai. Fikirannya agak tenang kini. Mungkin setenang air di dalam perigi belakang rumah mereka. Ruang rumah mereka kini cuma dipenuhi oleh suara dari televisyen sahaja. Tiada lagi kedengaran suara Maznah membaca Al-Quran.
“ Helmi ! Helmi !, kedengaran suara cemas memanggil dari kaki tangga.
Helmi yang hanyut dibuai emosinya bingkas bangun mendapatkan suara itu. Faizul mengiringi langkah Helmi dengan ekor matanya. Di kepala tangga Azwan muncul dalam keadaan tercungap-cungap. Di tangan kanannya tergenggam sehelai kertas putih yang agak renyuk. Helmi melihat Azwan dengan seribu kehairanan. Azwan rakan sekerjanya. Petang tadi Azwanlah temannya membeli nombor ekor di Pekan Sentosa petang tadi.
“Harap-harap engkau membawa barita baik untuk aku malam ini, Azwan”, Helmi sempat bermonolog setelah melihat kertas putih yang digengggam Azwan.
“ Ada apa Azwan ? Nampaknya engkau ni macam dikejar hantu lagaknya ataupun mungkin nombor aku masuk malam ini ? “, Helmi makin bersemangat.
Azwan yang berdiri di kaki tangga naik ke bendul pintu dengan pantas. Dia duduk sambil membuka kertas yang digenggamnya sejak tadi. Wajahnya masih cemas.
“ Ma… ma… mana, nombor yang engkau beli tadi Mie? Aku nak tengok . Mungkin nombor itu masuk, Mie !”, bicara Azwan cemas dan terputus-putus.
Helmi terus membuka dan mengeluarkan helaian tiket yang dimaksudkan oleh Azwan Mereka memerhati dan membandingkan sesuatu dengan cetakan pada kertas yang di bawa Azwan tadi. Tiba-tiba mereka bersorak kegembiraan.
“ Bertuahnya engkau, Mie! Satu ratus ribu ringgit. Esok bolehlah engkau tukar motor Mie. Aku cadangkan engkau beli motor yang lebih besar , Mie. Bolehlah aku tumpang sekaki”, bicara Azwan separuh mengampu.
Helmi dan Azwan sama-sama ketawa. Di fikiran mereka terbayang lampiran wang yang bertimbun. Wang sejumlah seratus ribu ringgit. Satu jumlah yang sangat banyak dan boleh meruntuhkan pendirian serta iman seseorang.
“Assalamualaikum”, kedengaran suara memberi salam.
Helmi dan Azwan yang sedang khusyuk dengan dunia mereka seperti tidak mendengar. Di kepala mereka terbayang seribu rancangan termasuk cara untuk menuntut wang yang baru mereka menangi. Sejurus kemudian munncul ayah dan emak mereka yang baru pulang dari masjid.
“Ayah dengar riuh-rendah sahaja tadi, ada apa-apakah Faizul ?”, sambil bertanya Pakcik Kamarol meletakkan songkok yang dipakainya di atas almari pakaiannya.
Pandangan Pakcik Kamarol tertumpu pada Faizul kemudian beralih ke arah Helmi dan Azwan. Dia terus duduk di kerusi bersebelahan Faizul. Sementara itu Makcik Asmida terus menyimpan pekakas sembahyangnya ke dalam bilik tidur mereka.
“ Mereka berdua tu kena nombor enam ekor sebanyak seratus ribu ringgit, sebab itulah mereka gembira tu ”, Faizul menjawab ringkas.
“ Betulkah Helmi ? ”, Pakcik Kamarol cuba mendapatkan kepastian.
Helmi dan Azwan Cuma mengangguk. Mereka meneruskan perbincangan yang tergendala seketika. Lagak mereka seperti merancang misi sulit.
“ Syukurlah tu, Mie. Allah telah menunaikan doa dan keinginan kamu. Malah jumlah yang diberiNya lebih besar daripada nilai yang engkau inginkan. Tapi Mie, engkau harus ingat, setiap apa yang Allah bagi kepada kita samada ia berbentuk kegembiraan ataupun kesedihan merupakan dugaan daripadaNya. Kalau dah lapang nanti, ingatlah kepadaNya. Bertaubatlah Mie, seperti mana janji kamu kepada ayah suatu ketika dahulu. Janganlah mata kamu kabur dan iman kamu luluh oleh wang sebanyak itu. Allah tidak memerlukan apa-apa daripada kita, malah kita yang sentiasa memerlukannya. Ayah harap kamu akan faham, Mie”, Pakcik Kamarol seperti berkhutbah untuk mengingatkan anak bongsunya itu.
Sepanjang malam, Helmi gelisah. Matanya tidak mahu pejam. Fikirannya cuma teringatkan wang seratus ribu ringgit itu.
“ Ya Allah , engkau telah menunaikan permintaanku. Aku berjanji akan menunaikan janjiku untuk bertaubat. Aku akan bertaubat Ya Allah. Tapi bukan sekarang, tunggulah suatu ketika nanti”, monolog Helmi membawanya lena.
Awal-awal lagi Helmi dan Azwan telah berkemas untuk melaksanakan rancangan yang telah diatur malam semalam. Setelah semuanya selesai mereka bergegas ke Pekan Sentosa.
Di kuanter pembayaran Helmi begitu gelojoh menerima cek bayaran daripada pihak pengurus pusat jualan nombor ekor. Hatinya melonjak kegembiraan. Azwan yang dari tadi tidak mahu berjauhan dengan tersenyum sama.
Belum sempat mereka beredar, pusat jualan nombor ekor itu telah diserbu oleh beberapa orang pegawai dari Jabatan Majlis Islam Sarawak. Semua pengunjung menjalani pemeriksaan pengenalan diri. Helmi terlepas manakala Azwan terperangkap.
Lantaran takut menanggung aib seorang diri, Azwan menceritakan tipu helah Helmi kepada pegawai yang menyiasatnya. Daripada maklumat tersebut Helmi dituduh memalsukan dokumen pengenalan diri dan menjalankan kegiatan perjudian. Oleh itu, Helmi telah diberkas dan ditahan di balai polis.
Dalam soal-siasat yang dijalankan ke atas Helmi, dia didapati bersalah. Pakcik Kamarol dan isterinya amat kecewa dengan tindakan Helmi. Walau bagaimanapun Faizul cuba menenangkan kedua-dua orang tuanya.
Sementara dalam tahanan pihak polis, Helmi cuba menghisab dan memuhasabah dirinya. Kejahilan yang dilakukannya terhadap yang Esa telah dibalas di dunia ini.
“Itulah kekuasaanMu Ya Allah. Setelah berarak mendung dalam diriku, kini gelora pula mendatang lantaran kejahilan diri ini terhadap kebenaranMu”, Helmi menitiskan air mata kesal di bilik kurungannya.

No comments:

Post a Comment