Wednesday, October 28, 2009

KEMBANG MAWAR HIASAN MATA,
HARUM BAUNYA MENUSUK KALBU,
DI GEMBANG MAYA BERSUA KITA ,
SALAM KUHULUR MESRA BERSATU

Mimpi Ibu Di Hujung Senja

Oleh Kemeri Jalani

MAK Ipah berlunjur di beranda dapur rumahnya. Mulut Mak Ipah berisi sirih sekapur. Matanya merenung jauh ke seberang sungai. Pepohon pedada dan pelepah-pelepah nipah menjadi fokus anak matanya. Mulut Mak Ipah terus ligat melumatkan sirih. Gumpalan sirih di dalam mulut dibalik-baliknya. Seketika ditelannya sedikit air perahan dari daun sirih tersebut. Semakin pedas daun sirih, semakin enaklah ramuan sirih sekapur yang dikunyahnya.
Fikiran Mak Ipah kusut. Mungkin sekusut gumpalan sirih, pinang dan kapur di dalam mulutnya. Gigi tuanya yang semakin kemerah-merahan terus ligat mengunyah. Kunyahannya semakin lama semakin pantas. Terus pantas. Mak Ipah seperti mahu melepasi satu persaingan. Namun yang pasti bukan pertandingan memakan sirih. Ia adalah persaingan untuk melepaskan diri dari kepayahan dan kemiskinan hidup. Dia ingin membawa lari keluarganya dari belenggu kemiskinan yang selama ini merantai mereka.
Mulut Mak Ipah tiba-tiba membungkam. Namun fokus matanya belum beralih. Dada susutnya mula berombak lesu. Mata tua yang diselaputi kulit berkedut halus itu mula berlinangan air. Dia memekakkan telinga daripada mendengar rintihan hujan jatuh ke atas atap nipah rumahnya. Namun mindanya teringatkan anak ketiganya, Lebar. Bicara Lebar dua hari lepas telah menyentuh hati kecil keibuannya. Lebar akan naik ke tingkatan satu bulan Januari depan. Namun wang untuk membeli segala kelengkapan persekolahan itu, mereka tidak ada. Wang yang ada cuma cukup makan untuk sehari dua ini sahaja. Rumitnya persoalan ini.
” Mak, Lebar rasa tak payahlah Lebar melanjutkan pelajaran. Lebar akan membantu bapa dan emak di kebun. Kalau Lebar dah besar nanti bolehlah Lebar bekerja balak bersama Pak Cik Jawi. Masa tu nanti, tentu kita dapat kumpul banyak wang. Kalau Lebar ke sekolah pun, tentu beban bapa dan emak akan menjadi lebih berat”, tersekat-sekat dan sayu nada Lebar cuba menenangkan hati emaknya.
Sejak kalimat-kalimat itu terpancar dari mulut anak mereka, Mak Ipah dan Pak Lani terus gundah hati. Benar kata Lebar, bebanan mereka akan bertambah. Pakaian sekolah, buku-buku pelajaran , perbelanjaan rumah , semuanya memerlukan wang. Ya wang, yang bukannya sedikit. Di mana mereka nak korekkan wang untuk memenuhi segala keperluan tersebut ? Persoalan ini mudah diselesaikan bagi keluarga yang berada atau bagi mereka yang punyai tempat untuk mengadu. Sementara bagi yang berharta dan bertanah puluhan ekar, bolehlah mengadu ke kedai pajak. Bagi Mak Ipah dan Pak Lani, mereka tidak punyai apa-apa.
Selain mengusahakan kebun yang cuma sekangkang kera, kudrat tua Pak Lani dan Mak Ipah banyak berjasa kepada tauke-tauke Cina di Sungai Limau. Di situlah mereka berdua sering berkuli, mengais secupak rezeki. Pak Lani mahir membuka parit. Dia adalah pilihan utama tauke-tauke Cina jika hendak membuka parit di kebun-kebun baru mereka. Selain itu, kudrat tuanya juga sering digaji tauke-taukenya untuk mengangkat guni berisi biji koko atau peti kayu yang berisi 50 kilogram buah limau. Pak Lani tidak memilih kerja. Baginya, biarlah dia menanggung segala kesakitan dan kesukaran asalkan anak-anaknya cukup makan dan pakaian untuk dipakai.
Sejak berhenti daripada bekerja balak, berkuli adalah mata pencarian rezekinya yang utama. Kesukaran hidup di zaman penjajah menyebabkan Pak Lani tersisih daripada perebutan mendapatkan ilmu pengetahuan. Lagipun arwah bapanya dahulu bukanlah orang yang mementingkan ilmu dunia. Tapi Pak Lani tidak begitu. Di tidak mahu anak-anaknya mewarisi kesusahan hidup yang telah dilaluinya. Itu janji Pak Lani kepada isterinya.
” Bulan depan Lebar akan masuk ke tingkatan satu. Setakat ini, satu apa pun belum kita beli untuknya. Nak diberhentikan persekolahan, kesihan juga melihat wajahnya. Lagipun, selain Mazlan kepada dialah tempat kita menggantung harapan. Manalah tahu, suatu hari nanti mereka berdua tu boleh menjadi guru”, begitu berat Pak Lani meluahkan isi hatinya kepada Mak Ipah ketika santai di beranda rumahnya.
” Benar bang, saya juga berazam demikian. Saya tidak mahu kepayahan yang kita alami selama ini diwarisi oleh anak cucu kita. Cukuplah apa yang berlaku kepada Normala dan Salmah. Kerana mengejar kehidupan ke hulu dan ke hilirlah maka pelajaran mereka terabai. Kita telah melakukan kesilapan terhadap kakak-kanak mereka, bang. Saya tidak mahu kesilapan yanng sama kita lakukan ke atas Mazlan dan Lebar. Saya sanggup memeras keringat dan berkorban apa sahaja untuk mereka”, bersemangat Mak Ipah menyokong hasrat suaminya.
Pak Lani membetulkan duduknya di atas bangku kayu. Sabuk tuala lusuhnya hampir tertanggal. Dia mengikat semula tuala itu ke pinggangnya. Tuala lusuhnya menampakkan tanda-tanda akan koyak. Tompokan-tompokan hitam dan coklat daripada getah pisang, keladi dan umbut rumbia bertindan-tindih mencorak wajah usang tuala itu. Itulah satu-satunya tuala yang dia ada. Pak Lani menungkang dagunya pada pagar beranda rumahnya. Pandangan matanya dilontar jauh. Fikirannya bercelaru.
“ Tapi Ipah, dengan cara apa lagi untuk kita berusaha? Sekarang ni musim terkujuh. Hujan turun saban hari. Tauke-tauke Cina itu tidak akan mengupah kita dalam cuaca sebegini. Hendak bergolok-gadaipun, bukannya kita ada harta. Kita cuma ada kebun sekangkang kera, rumah bertiang nibong dan sebuah sampan tua. Kalau nak digadai pun, berapa sajalah harganya?”, Pak Lani seperti telah tewas waima perjuangannya belum sampai ke adan penamat.
Kedamaian petang bersama sapaan angin dingin selepas hujan renyai-renyai sejak pagi tadi semakin dimamah sayu. Mak Ipah yang dari tadinya duduk menongkat dagu dengan lututnya, kini sedikit resah. Dia mengesat air mata yang mula mengaliri kelopak matanya. Dia menangis kesal dengan keadaan dirinya.
” Tak apalah, abang. Saya tak memerlukan tanah atau apa-apa harta peninggalan arwah bapa dan emak. Lagipu sekarang ni, abang memerlukan wang untuk mengahwini anak abang. Jual sahajalah bahagian saya tu. Wangnya nanti boleh abang gunakan untuk perkahwinan Molly. Itu sahajalah bantuan yang saya dapat hulurkan untuk abang. Lagipun ini masa abang, esok lusa mungkin masa saya pula”, dengan rela hati Mak Ipah menyerahkan bahagian harta peninggalan orang tuanya kepada abangnya 15 tahun yang lalu.
Terlena dengan sejarah silam, Mak Ipah sekali lagi dikejutkan oleh lelehan air mata yang menyusuri pipi tuanya. Mak ipah mengesat matanya dengan hujung kain batik yang dipakainya. Sesaat yang sama Mak Ipah tersentak. Seperti menemui sesustu, wajah orang tua itu sedikit ceria. Dia berpaling lantas tersenyum kecil ke arah suaminya.
” Bang, saya cadangkan kita jual sahaja perahu itu. Wangnya nanti, bolehlah kita gunakan untuk membeli keperluan sekolah Lebar”, sambil mengubah duduk, Mak Ipah menuding jari telunjuknya ke arah perahu yang dimaksudkan.
” Maksud Ipah, kita jual perahu yang kita gunakan untuk bergantung hidup itu? Selepas tu, kita hendak pakai apa untuk ke kebun? Tak kan kita nak meminjam atau atau menumpang perahu orang lain setiap kali hendak huma atau ke kebun”, dengan nada terkejut, suara Pak Lani sedikit meninggi.
Pak Lani benar-benar terkejut dengan cadangan isterinya. Kewibawaannya sebagai seoarang suami sedikit tercabar. Dia sepatutnya mampu menyediakan keperluan harian dan pendidikan anak-anaknya. Tapi realiti hidupnya sebaliknya. Pak Lani melepaskan keluhan yang sangat berat. Matanya dipejam rapat. Tekaknya terasa kontang. Giginya dikacip erat. Dia tertekan.
” Kita tidak ada jalan lain, bang. Kalau ada rezeki, lain kali kita beli perahun yang baru. Keputusan kita hari ini bakal mencorak sejarah baru dalam keluarga kita, bang. Kita mesti optimis. Inilah masanya kita menebus kesalahan yang pernah kita lakukan terhadap Normala dan Salmah. Saya yakin, pengorbanan kita ini tidak akan sia-sia. Itulah kata hati saya, bang”, tanpa mempedulikan alasan suaminya Mak Ipah terus memperkukuhkan hujahnya.
” Biar abang berfikir dahulu, Ipah”, Pak Lani menjawab ringkas.
Pak Lani tertunduk. Persoalan di dalam benaknya melahar. Dia bingkas berdiri. Ikatan sabuk tuala lusuhnya diperkemaskan. Langkahnya longlai menuruni anak-anak tangga . Pak Lani meninggalkan Mak Ipah termangu bersama persoalan yang belum terjawab.
Mak Ipah menarik tepak sirihnya. Dia mencapai dua helai daun sirih. Dicalitnya sedikit kapur ke atas daun sirih itu sebelum dilipatnya. Sirih sekapur tadi disuap ke mulut, dikunyahnya dengan lembut kemudian ditambah dengan seulas pinang. Tertib perlakuannya. Pandangan Mak Ipah masih terfokus kepada jejeran batang-batang pedada yang menghiasi sungai di hadapan rumah mereka. Benak fikirnya masih berbaur seribu permasalahan. Bersama hanyut dalam fikiran yang kalut, rentak kunyahan sirih di dalam mulutnya jua tidak menentu. Iramanya kekadang pantas, kemudian kaku seketika dan ligat lagi.
Dari sebuah angan-angan optimis akan lahir igauan-igauan dalam mimpi-mimpi malam kita. Igauan-igauan itu pula adalah batu asas yanag kukuh kepada sebuah cita-cita yang luhur. Cita-cita adalah tangga kedua teratas sebelum memperoleh sebuah kejayaan yang mutlak. Untuk mencapai apa yang dicita-citakan, usaha yang gigih adalah landasan terbaiknya. Tapi jangan pula kita lupa bahawa di atas landasan tersebut terpacak seribu onak yang boleh merencatkan usaha. Namun jika ia dapat diatasi, onak-onak itulah yang akan menjadi baja keyakinan dalam diri untuk kita terus berjuang.
” Cikgu Lebar! Cikgu Lebar! Mengapa cikgu menangis? Sejak tadi kami memanggil cikgu, cikgu seperti tidak mendengar”, sapaan Mezuin mengejutkan Lebar daripada hanyut diulit sejarah silam dirinya.
” Menangis?”, Lebar bermonolog. Dia dapat merasa kelopak matanya dilenangi air. Secepat kilas dia mengesat matanya.
Lebar menangis setelah mengimbas sejarah pengorbanan emak dan arwah bapanya sepuluh tahun yang lalu. Dia menyelok saku seluarnya. Dikeluarnya sehelai sapu tangan merah. Sekali lagi dia mengesat kedua-dua matanya. Jauh di lubuk hatinya, dia tersenyum riang. Dia bangga mimpi-mimpi indah kedua-dua orang tuanya suatu ketika dulu menjadi nyata.
Bermula daripada berjaya melanjutkan pelajaran ke tingkatan satu, Lebar berazam merempuh-lalu setiap halangan yang mendatang. Dia berjaya melepasi halangan pertama semasa menduduki peperiksaan di tingkatan tiga. Berbekalkan amanah dan harapan emak dan bapanya, Lebar berjaya melepasi semua peperiksaan awam yang diduduki dengan cemerlang. Kemuncak kejayaan yang merealisasikan impian orang tuanya, Lebar berjaya memperolehi segulung ijazah dari Universiti Malaya.
Segala kejayaan tersebut telah meletakkan Lebar di tempatnya sekarang. Dia kini seorang guru siswazah. Walaupun terpaksa merantau di tempat orang, demi tugas mendidik anak bangsa, dia tetap rela. Lebar juga telah lali berjauhan dengan keluarga. Melalui bingkisan dan sesekali berhubung melalui telefon, Lebar meluahkan rasa rindunya kepada keluarga.
Sedikit kecewa terpalit dalam kegembiraan Lebar. Kejayaan yang diperolehinya tidak sempat lama dikongsi oleh bapanya. Pak Lani belum puas menuai hasil dari pohon yang ditanamnya. Arwah Pak Lani meninggal dunia setahun yang lalu. Pemergian Pak Lani meninggal seribu kesan dalam diri Lebar.
” Cikgu, kerja kami dah siap. Boleh kami hantar buku latihan ini ke atas meja cikgu sekarang ? ”, lantang suara Ewan mengejutkan Lebar. Dia menjeling ke arah pelajar-pelajarnya.
Lebar seperti baharu jaga dari sebuah mimpi yang panjang. Dia lupa tugasnya seketika. Ketika menunggu pelajar-pelajar menyiapkan latihan, ingatan Lebar terimbas perit-getir emak dan arwah bapanya menyekolahkan dia dan adiknya. Pada Lebar, cita-cita orang tuanya terlaksana terhadap dirinya. Namun tidak pada Mazlan. Pelajarannya terkandas sekerat jalan.
Lebar tidak kesal keadaan adiknya. Dia yakin Mazlan boleh membina hidupnya sendiri berbekalkan pengalaman dan usahanya . Ini zaman melinium. Kejayaan dalam bidang akademik bukan kayu ukur yang rinci untuk menilai kejayaan hidup seseorang. Siapa yang bijak memanfaatkan peluang yang terhidang di depan mata, orang itulah yang mungkin akan berjaya. Demikian jualah harapan Lebar kepada Mazlan.
“ Mengapa cikgu ni? Teringat keluarga yang jauh di mata atau kekasih yang dekat di hati? “, dengan nada menyindir Ewan yang sedikit lembut berlenggang menghampir meja gurunya untuk menghantar buku.
Lebar cuma tersenyum. Dia telah masak dengan karenah pelajar-pelajar di hadapannya. Lebar telah mengajar mereka selama tiga tahun. Sebab itu dia tidak mengendahkan sindiran Ewan sebentar tadi. Sebaliknya, wajah-wajah ceria mereka menghiburkan hiba di hati Lebar. Tatkala berdepan dengan mereka, hilanglah rasa rindu Lebar terhadap keluarganya. Di wajah pelajar-pelajarnya tergambar harapan setiap ibu bapa mereka. Saat itu jualah Lebar akan terbayang wajah kedua-dua orang tuanya.
“ Saya tak menangislah. Mata saya dimasuki habuk. Saya cuma teringatkan keluarga di kampung, Maklum sajalah, cuti semester dah dekat. Saya pun dah lama tak balik kampung. Saya benar-benar rindukan emak saya sekarang”, Lebar pula cuba mengalih perhatian anak-anak didiknya.
” Tanpa pengorbanan orang tua kita tidak akan ke mana. Kerana cita-cita kedua-dua orang tua, saya berdiri di hadapan kamu semua selama ini. Mereka membina cita-cita berdasarkan mimpi semasa lena di bantal kemiskinan. Untuk menjelmakan cita-cita menjadi nyata pengorbanan harus menjadi baja kepada usaha. Kamu semua harus ingat, usaha harus disertakan dengan doa. Ibu bapa kita juga pasti sentiasa berdoa untuk kita”, Lebar ala berkhutbah sambil bulu romanya sedikit meremang.
Imbasan sejarah silam menyebakkan lagi dadanya. Lebar memerhati satu persatu wajah generasi baru yang dididiknya. Sebagai seorang guru, Lebar cuba sentiasa mencerna minda mereka. Guru muda ini cuba membimbing pelajar-pelajarnya berfikir untuk keluar dari kepompong kebiasaan mereka. Namun dia akur dengan fiil pelajar-pelajarnya. Daripada tiga puluh orang di situ, mungkin cuma seorang dua yang faham dan berfikir tentangnya. Itulah sifat pelajar zaman sekarang. Gelagat dan pencak mereka mengalahkan langkah penjahat-penjahat dalam filem lakonan Allahyarham Tan Sri Dr. P. Ramlee.
“ Kamu semua harus ingat, tugas sebagai seorang pelajar ialah menimba sebanyak mungkin ilmu. Itulah amanah yang ibu bapa kamu pertanggungjawabkan ke atas setiap daripada kamu. Setiap ibu bapa punyai mimpi dan cita-cita terhadap kita walaupun mereka tidak menzahirkannya. Penuhilah impian mereka walaupun usia mereka semakin senja”, bicara Lebar terhenti setelah loceng waktu rehat berbunyi.
Lebar bersemangat melangkah keluar dari kelasnya. Langkahannya tersusun rapi. Di dadanya berbunga semangat baru. Dia berasa puas setelah menyatakan apa yang terbuku di dalam hatinya. Lebar ingin menyebarkan seluas-luasnya cerita tentang mimpi itu. Biar seluruh dunia tahu, kejayaan seseorang itu bertapak dari mimpi kedua-dua orang tua mereka.

Tuesday, October 27, 2009

SEJADAH USIA

Sejadah usang
tersidai lesu di lengan kerusi empuk
berlipat kedut bersantai lena
kian lama tidak dicium sujud.

Sejadah itu kian sirna citranya
dimamah debu-debu duniawiah
dicalit bulu-bulu seriga jalang
diresapi aura-aura puaka malam
hingga tiada lagi haruman tamar padanya.

Wahai sejadah usia
laungkan pada alam ini
yang engkau telah kebas bersantai
ratiblah pada biji-biji tasbih
yang engkau dahagakan manisnya tamar
bertongkatlah dengan mimbar iman
untuk kau hamparkan diri di dada alam
mempersembah daif diri untuk dihisab.

Sejadah usang usia
biar sirnamu di hujung senja
asalkan dapat kau selak selaput kalbu bernoda,
agar ada sinar menanti di senja kembaramu.





Kemeri Jalani
Simunjan, April 2007

Monday, October 26, 2009

BERITA DARI SEBUAH PERKUBURAN


Sekujur jasad kaku
lewat kunjungan singkat Izrail
penuh hormat mengungkai roh
dari jasad seorang pak tua
yang santai di bantal uzur.

Wangi siraman barus dari gayung mandian
putih lembut kapan menyelimut derita
halus binaan keranda tumpangan ke taman abadi
terukir seni nesan mercu persemadian
bekalan pak tua pulang kepangkuanNya.

Tika ku hadiri pengebumian tadi
wajah penggali liang begitu payah
menongkah mata air yang menjirus laju
walau cuba ditimba rakus
sambil sempat tebing meronta
gugur mendiami dasar liang .

Seribu pertanyaan cuba ku cipta,
rahmat atau laknat yang cuba ditunjukNya?
Terdetik kecut di hulu kalbuku,
jika saat ini Izrail mengundangku
sedang kantung bekal masih kontang
kalbu lena diulit alpa.

Berita dari perkuburan ini
harus dimengerti oleh insan alpa
takut nanti ketika liang lahat kita digali
saudara di sisi dikejutkan dengan penanda buruk
menyelak pekung yang pekat membusuk.


Kemeri Jalani
Simunjan, Apri 2007.

Air mata dendam

Air mata dendam


Air mata anak hamas
Adalah darah dendam yang mencurah
Dari celahan hujan peluru
Meranap keluarga dan negaranya.

Darah dan air matanya
Bersatu antara duka dan resah
Lalu memacaak tugu dendam dalam diri
Sejak punah keluarganya

Dentuman bom dan mortar
Adalah teriakan azimat
yang menajam pisau ingatan
kekejaman puaka Zionis
untuk ditarah pada kotak ingat

bumi Palestin
pesat dibangun rejim laknat
dengan kuburan tanpa nesan
hingga tiada ruang untuk
menyemai benih keamanan
kerana serakah menunjuk kuasa.

Kiblat hidup
anak-anak hamas
difokus pada haluan untuk merampas
damai dari si bongkak yang kejam.


23 Januari 2009

Srikandi Palestin

Srikandi Palestin


bundar mata bekilau lembut
terpancar dari celah selakaan tudung
merah menyaga penuh amarah

rebah srikandi tanpa senjata digenggaman
mengendong si kencil yang haus menyusu
menguak mata dunia menyiram simpati



seroja Gaza
sedia mengembang kelopak bakti
menghias gelanggang jihad
sambil menghambur harum semangat
untuk syuhadanya
tanpa jemu dan kesal
hilang satu dua sanggup diadanya


getaran mortar dan mesingan
penyubur semangat ingin berjuang
bersama satria muslim
demi menghijau darah yang merata


1 feb 2009